Bukit Bauk yang terletak 6 km dari bandar Dungun, melalui jalan Dungun-Kuantan dan 130 km dari Bandar kuala Terengganu. Bukit Bauk menyimpan pelbagai kisah suka duka baik bagi penduduk setempat ataupun pengguna jalanraya yang lain. Jalan lama yang berselekoh tajam, mengundang malapetaka jika anda lalai.
bukit bauk
Sebelum jalan baru dibina untuk mengantikan jalan lama Bukit Bauk yang merentasi celah-celah bukit, memang terdapat banyak kisah misteri dan seram berlaku disitu. Jalan lama Bukit Bauk dahulu, terdapat banyak selekoh dan jalan 2 halanya yang mampu memuatkan dua buah kenderaan sahaja. Dengan keadaan jalannya yang tidak berapa sempurna, terdapat banyak kemalangan maut yang berlaku disini.
Kesan daripada kemalangan maut tersebut, mulalah timbul bermacam kisah seram yang dialami oleh pengguna yang melalui jalan tersebut. Pernah juga kelibat haiwan liar yang menghuni hutan Bukit Bauk seringkali berkeliaran di tepi-tepi hutan sepanjang jalan.
Pelbagai kisah seram yang pernah diceritakan oleh pengguna yang mengalami peristiwa menakutkan itu. Antara kisah seram yang berlaku disitu adalah kisah seram kelibat seorang perempuan berambut panjang menahan kenderaan untuk menumpang ke satu tempat. Ada juga kisah orang terserempak dengan susuk tubuh manusia tanpa kepala yang berdiri ditepi jalan lama. Menurut cerita lama, kelibat tanpa kepala itu adalah kelibat askar Jepun zaman dahulu.
hantu jepun
Penulis sendiri pernah mengalami peristiwa aneh yang hampir meragut nyawa. Ianya berlaku lebih kurang 6 tahun dahulu sewaktu penulis bersama rakan memandu pulang ke Dungun. Setibanya kami di selekoh Bukit Bauk yang berhadapan dengan jalan masuk Rimba Bukit Bauk, penulis yang memandu ketika itu terlihat seperti jalan dihadapan bercabang dua. Kejadian tersebut membuatkan kereta yang kami naiki terbabas dan hampir melanggar tembok batu.
Rakan penulis juga pernah menceritakan apabila beliau yang sedang memandu lori ketika itu, melalui jalan Bukit Bauk, tiba-tiba terlihat kelibat jelmaan perempuan menumpang dibelakang lorinya. Kisah ini adalah satu daripada banyak lagi kisah yang menyeramkan berlaku di Bukit Bauk.
Walaupun jalan lama Bukit Bauk telah ditutup dan digantikan dengan jalan baru yang lebih lurus dan besar, masih berlaku lagi kemalangan maut dan perkara-perkara yang menyeramkan terutamanya kepada pengguna yang kali pertama melalui jalan tersebut.
Tapi, kami juga ingin menasihatkan supaya lebih berhati-hati apabila melalui jalan Bukit Bauk terutamanya ketika hujan. Banyak kemalangan yang terjadi disini disebabkan keadaan jalan yang licin. Juga berhati-hati ketika melaluinya diwaktu malam, bimbang juga haiwan liar yang melintas.
Anda ada cerita seram yang pernah dialami ketika menggunakan jalan Bukit Bauk ini? Tidak kisahlah jalan lama atau baru, anda boleh kongsikan kepada kami untuk tatapan pembaca yang lain. Anda boleh mesej kami di page Orang Terengganu di Facebook atau menghantarkan artikel cerita anda kepada kami.