Kontroversi Nasi Lemak Pondan belum pun reda, kini muncul pula Nasi Lemak Gay, sehingga menjadi tular dan bualan netizen di media sosial.
Malahan, pengusaha Nasi Lemak Gay ini mengakui berdepan situasi sukar sejak hari pertama nama itu digunakan untuk mempromosi jualannya.
Susulan itu, operasi gerai berkenaan terpaksa dihentikan sementara selepas menerima pelbagai reaksi dan kecaman.
Pengusahanya, Adi Yusuf, 33, berkata, dia tidak menyangka nama Nasi Lemak Gay yang digunakan untuk perniagaannya sekelip mata mencetuskan kekecohan.
"Saya berniaga nasi lemak di situ sejak akhir Januari lalu. Hanya baharu semalam (Selasa) saya pasang 'banner' dengan nama Nasi Lemak Gay.
"Saya tak sangka ia kecoh satu Malaysia. Saya terus kena kecam. Kuasa media sosial sangat menakutkan.
"Saya ambil keputusan untuk berhenti berniaga buat sementara selepas menerima banyak kecaman. Saya tunggu ia reda dahulu," katanya kepada mStar Online.
Adi bagaimanapun tampil menjelaskan bahawa Nasi Lemak Gay bukanlah bermaksud lelaki gay atau homoseksual, sebaliknya ia adalah singkatan kepada Gerai Adi Yusuf.
"Saya memang tak terfikir pasal nama itu akan mengundang pelbagai reaksi kerana ia adalah singkatan kepada Gerai Adi Yusuf, nama saya sendiri.
"Saya bukan letak nama Nasi Lemak Gayboy pun. Saya tak sangka masyarakat terus menghina saya dan menjatuhkan hukum tanpa usul periksa," ujar Adi dengan nada kesal.
Nasi Lemak Gay yang beroperasi pada setiap pagi di Taman Segar, Cheras itu menjual nasi lemak biasa pada harga RM2, nasi lemak kerang (RM4) dan nasi lemak ayam (RM5).
Turut dijual adalah beberapa makanan untuk sarapan pagi seperti bihun goreng, mi goreng, kueh teow goreng dan pelbagai jenis kuih.
Selain Nasi Lemak Gay dan Nasi Lemak Pondan, terdapat beberapa gerai nasi lemak yang menggunakan nama lain daripada yang lain sebagai strategi memancing pembeli seperti Nasi Lemak Anak Dara dan Nasi Lemak Spiderman.