Hukum Membaca Doa Sebelum Makan Riwayatnya Munkar, Tidak Boleh Di Amalkan?



Status hadis berkaitan doa makan yang masyhur

Seperti yang dimaklumi bahawa masyarakat melayu membaca doa sebelum makan dengan lafaz berikut:

اللّهُمّ بارِك لنا فِيما رزقتنا ، وقِنا عذاب النّار

Maksudnya: Ya Allah berkatilah segala apa yang Engkau rezekikan pada kami dan jauhilah kami dari azab neraka.

Maka di kesempatan ini saya ingin menyatakan pandangan status riwayat doa makan yang masyhur ini.

1. Takhrij hadis:

- Riwayat Abdullah bin 'Amr:

Diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Du'a (hlm. 278), Ibn 'Adiyy dalam al-Kamil (jld. 6, hlm. 206) Ibn Sunni  dalam 'Amal al-Yaum wa al-Lailah (hlm. 406) kesemua mereka dari jalur Muhammad Ibn Abi al-Zu'aizi'ah dari 'Amr bin Syuaib dari ayahnya dari Abdullah bin 'Amr dari Nabi sallallahu 'alaihi wasallam dengan lafaz:

أنه كان يقول في الطعام إذا قرب إليه قال اللهم بارك لنا فيما رزقتنا وقنا عذاب النار بسم الله وإذا فرغ قال الحمد لله الذي من علينا فهدانا والحمد لله الذي أطعمنا وسقانما فأروانا وكل الإحسان آتانا

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi berkata pada makanan apabila didekatkan (dihidangkan) padanya: Ya Allah berkatilah segala apa yang Engkau rezekikan pada kami dan jauhilah kami dari azab neraka. Bismillah. Apabila selesai makan baginda menyebut: Segala puji bagi Allah yang mengurniakan kepada kami dan memberikan hidayah, dan segala puji bagi Allah yang memberi kami makanan, memberi kami minum dan mengilangkan dahaga kami dan (segala puji bagiNya) bagi setiap kebaikan yang Dia berikan kepada kami.

Komentar ulama hadis terhadap riwayat dan perawi hadis ini:

i. al-Bukhari menyatakan Ibn Abi al-Zu'aizi'ah tersangat-sangat munkar al-hadis (terlalu banyak meriwayatkan hadis munkar) (Rujuk: al-Bukhari, al-Tarikh al-Kabir, jld. 1, hlm. 88, Ibn Hajar, Lisan al-Mizan, jld. 5, hlm. 165)

ii. Abu Hatim al-Razi:

- هذا حدِيثٌ ليس بِشيءٍ ، وابنُ أبِي الزُّعيزِعةِ لا يشتغِلُ بِهِ مُنكِرُ الحدِيثِ.

Maksudnya: Hadis ini tidak sahih dan Ibn Abi al-Zu'aizi'ah munkar al-Hadis (banyak meriwayatkan hadis munkar) (Rujuk: Ibn Abi Hatim, al-'Ilal, jld. 2, hlm. 14)

iii. Ibn Hibban:

كان ممن يروى المناكير عن المشاهير حتى إذا سمعها من الحديث صناعته علم أنها مقلوبة ، لا يجوز الاحتجاج به .

Maksudnya: Dia (Ibn Abi al-Zu'aizi'ah) meriwayatkan hadis-hadis munkar dari perawi yang masyhur sehinggakan sesiapa yang mempunyai ilmu hadis apabila mendengar riwayatnya mengetahui riwayatnya maqlub (tertukar). Tidak boleh berhujah dengan riwayatnya. (rujuk: Ibn Hibban, al-Majruhin, jld. 2, hlm. 224)

iv. Ibn 'Adiyy:

ابن أبي الزعيزعة عامة ما يرويه عن من رواه ما لا يتابع عليه

Maksudnya: Semua riwayat Ibn Abi al-Zu'aizi'ah tidak ada diriwayatkan oleh orang lain (dengan riwayat yang sama).

- Ini bermakna Ibn 'Adiyy menganggap riwayat Ibn Abi al-Zu'aizi'ah ini munkar.

- Riwayat Hisyam bin 'Urwah secara mauquf:

Diriwayat oleh Imam Malik dalam al-Muwatta' (jld. 2, hlm. 934), Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (jld. 5, hlm. 139), al-Baihaqi dalam al-Asma' wa al-Sifat (jld. 1, hlm. 448) dengan lafaz:

أنه كان لا يؤتى أبدا بطعام، ولا شراب حتى الدواء فيطعمه أو يشربه، إلا قال: «الحمد لله الذي هدانا، وأطعمنا وسقانا، ونعمنا، الله أكبر، اللهم ألفتنا نعمتك بكل شر، فأصبحنا منها وأمسينا بكل خير، نسألك تمامها، وشكرها لا خير إلا خيرك، ولا إله غيرك، إله الصالحين، ورب العالمين، الحمد لله ولا إله إلا الله، ما شاء الله ولا قوة إلا بالله، اللهم بارك لنا فيما رزقتنا وقنا عذاب النار»

Maksudnya: Sesunnguhnya 'Urwah bin al-Zubair tidak sesekali dihidangkan dengan makanan atau minuman atau ubat kecuali dia akan menyebut selepas memakannya atau meminumnya: Segala puji bagi Allah yang memberi hidayah kepada kami, memberi makan, memberi minum, memberi nikmat. Allah maha besar. Ya Allah, nikmat Mu tetap ada walaupun wujud setiap kejahatan kami, dengan nikmat Mu kami menjalani waktu pagi dan petang dalam kebaikan baik. Kami memohon kesempurnaan nikmat itu dan kesyukuran ata nikmat Mu. Tiada kebaikan melainkan kebaikanMu, tiada Tuhan melainkan Engkau, Tuhan orang-orang salih dan Tuhan sekelain alam. Segala puji bagi Allah, Tiada Tuhan melainkan Allah, tiada yang berlaku melainkan dengan kehendak Allah, tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Allah. Ya Allah berkatilah segala apa yang Engkau rezekikan pada kami dan jauhilah kami dari azab neraka.

Sanad riwayat ini sahih. Tetapi doa ini sebenarnya dibaca selepas makan kerana ucapan pujian lebih sesuai dibaca selepas menjamah makanan. (Rujuk: Ibn 'Abd al-Barr, al-Istizkar, jld. 8, hlm. 387)

Kesimpulannya:

1. Jelas di sini doa sebelum makan yang masyhur itu riwayatnya munkar. Maka ia termasuk dalam kategori hadis yang terlalu daif. Ia tidak boleh diamalkan dalam fadhail al-A'mal kerana syarat utama beramal dalam fadhail al-A'mal ialah hadis daif tersebut mestilah daif yang ringan. Manakala hadis ini daifnya berat. Namun jika nak berdoa dgn apa-apa lafaz mmg boleh, cuma yang jadi masalah bila dilazimi doa itu sahaja sebelum makan sampai ada iktikad itu memang doa sebelum makan sedangkan riwayat tu daif jiddan

2. Riwayat yang sahih adalah mauquf dari 'Urwah bin al-Zubair dan ia dibaca selepas makan bukan sebelum makan.

3. Riwayat yang sahih hanya membaca Bismillah sebelum makan seperti berikut:

عُمَرَ بْنَ أَبِي سَلَمَةَ، يَقُولُ: كُنْتُ غُلاَمًا فِي حَجْرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَكَانَتْ يَدِي تَطِيشُ فِي الصَّحْفَةِ، فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يَا غُلاَمُ، سَمِّ اللَّهَ، وَكُلْ بِيَمِينِكَ، وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ»

Maksudnya: Daripada Umar bin Abi Salamah katanya: Sewaktu aku kecil di bawah jagaan Nabi sallallah 'alaihi wasallam tanganku sentiasa berlegar sekeliling talam (untuk mendapatkan makanan dan lauk). Nabi sallallah 'alaih wasallam berkata kepadaku: Wahai anak, sebut nama Allah (baca bismillah), makan dengan tangan kananmu dan makanlah (ambillah makanan) yang hampir denganmu.

Hadis riwayat al-Bukhari (jld. 5, hlm. 2056) dan Muslim (jld. 6, hlm. 109)

Wallahua'lam

Rozaimi Ramle
4 April 2013
Sweileh, Jordan
2.40 petang

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »