INDIVIDU dipercayai giat raih simpati orang ramai.
Kuala Lumpur: Baru memeluk Islam 10 hari. Itu antara modal digunakan seorang lelaki untuk meyakinkan orang ramai menghulurkan bantuan kepadanya sejak setahun lalu.
Malah kata-kata pujukan itu menyebabkan individu lain yang bersimpati bertindak memuat naik status di laman sosial dalam usaha menarik perhatian nitizen lain membantu mangsa.
Bagaimanapun penipuan itu terbongkar apabila beberapa penderma menyedari ‘mualaf’ terbabit masih menggunakan modal sama iaitu baru memeluk Islam sejak 10 hari lalu.
Seorang mangsa yang hanya dikenali sebagai Wafiy, 21, berkata, dia ditegur lelaki mualaf berusia sekitar 30-an itu ketika berada di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sungai Besi di sini, Jumaat lalu.
Menurutnya, lelaki itu mendakwa menghadapi masalah kewangan selepas hartanya dirampas oleh keluarga sendiri susulan tindakannya memeluk Islam.