SEBAGAI seorang anak kedua dalam adik-beradik, agak sukar sebenarnya untuk saya menulis fakta kajian ini yang mengatakan bahawa anak pertama lebih bijak berbanding adik beradik lain selepasnya.
Ahli ekonomi daripada University of Edinburgh dilaporkan telah membuat hasil kesimpulan daripada kajian dengan mendakwa bahawa anak pertama mempunyai ujian IQ yang lebih tinggi berbanding adik beradik yang lain seawal umur setahun.
Para penyelidik mendakwa hasil dapatan kajian itu boleh dijelaskan dengan kelaziman bawa anak pertama menerima lebih rangsangan mental dan sokongan di dalam membina kebolehan berfikir daripada ibu bapa ketika awal usia.
Keputusan kajian ini telah diterbitkan di dalam Journal of Human Resources, ia didakwa dapat menerangkan hasil kajian tentang kesan turutan kelahiran sebelum ini yang mendakwa, adik beradik lebih tua di dalam keluarga menikmati pendapatan dan pendidikan yang lebih baik di masa depan.
Kajian tersebut yang juga dijalankan hasil usahasama dengan Analysis Group dan University of Sydney telah membuat penyelidikan terhadap data-data daripada US Children of the National Longitudial Survey of Youth yang dikumpul oleh Biro Statistik Pekerja Amerika Syarikat.
Hampir 5,000 kanak-kanak diperhatikan dari awal usia sebelum kelahiran hinggalah berumur 14 tahun berdasarkan latar belakang keluarga dan situasi ekonomi. Penilaian dilakukan setiap 2 tahun terhadap kebolehan membaca, melukis dan kosa kata.
Para penyelidik menggunakan kaedah-kaedah statistik terhadap data ekonomi untuk menganalisis sejauh mana kelakuan dan tabiat ibu bapa seperti merokok dan meminum minuman keras semasa tempoh hamil berkait dengan skor ujian anak-anak mereka.
Kajian tersebut mendapati ibu-ibu yang mengambil lebih risiko semasa tempoh kehamilan berkemungkinan memberi kurang rangsangan mental terhadap anak-anak kedua dan seterusnya serta kurang mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti seperti membaca, melukis dan memainkan alat muzik.
Dr Ana Nuevo-Chiquero, dari fakulti Ekonomi di University of Edinburgh dilaporkan berkata: " Keputusan kajian kami mencadangkan, perubahan besar di dalam kelakuan ibu bapa menjelaskan mengapa turutan kelahiran berkait dengan perbezaan di dalam pendidikan dan pekerjaan,"