Pemandu Uber dan Grab Perlu Membayar Cukai Pendapatan

LHDN: Pemandu Uber, Grab boleh dikenakan cukai…jika layak.

Pemandu Uber dan Grab yang mempunyai pendapatan RM30,000 setahun boleh dikenakan cukai
grab-uber

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) hari ini mengesahkan pemandu syarikat perkhidmatan perkongsian kenderaan Uber dan Grab boleh dikenakan cukai, jika pendapatan yang diperolehi melayakkan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Sabin Samitah berkata pemandu Uber dan Grab yang mempunyai pendapatan RM30,000 setahun layak dikenakan cukai.

Katanya, jika mereka tidak mengisi borang cukai pendapatan, LHDN boleh memeriksa dan menyemak pendapatan mereka melalui senarai pemandu syarikat Uber dan Grab.
“Kita memang tidak mempunyai masalah untuk mengenakan cukai kepada pemandu (Uber dan Grab),” katanya pada sidang media di Hotel Seri Pacific di sini.

“Kita boleh dapat maklumat senarai pemandu daripada syarikat Uber sendiri dan boleh dapatkan maklumat berapakah amaun yang telah di bayar kepada pemandu Uber,” tambahnya.
Kementerian Kewangan 13 Ogos tahun lalu berkata pihaknya tidak bercadang mengenakan cukai ke atas pemandu Uber dan Grab, sebaliknya mengkaji sistem pencukaian ke atas platform perkhidmatan tersebut.

Ini disebabkan platform aplikasi Uber dan Grab berupaya mengaut keuntungan berjuta ringgit hasil operasi mereka, kata Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani.

“Kita (kementerian) tak nak kenakan cukai kepada pemandu teksi, tetapi kita nak tengok bagaimana kementerian boleh laksana pencukaian ke atas platform (Uber dan Grab) ini…sebab pemandu juga perlu membayar 25% kepada platfrom ini,” katanya.

Sabin menambah LHDN mempunyai kaedah tersendiri untuk mengetahui pendapatan sebenar pemandu Uber dan Grab selain melalui rekod di pihak syarikat.

Antaranya melalui pembelian hartanah atau kenderaan atau daripada bank.
Menjawab soalan pemberita, Sabin berkata mana-mana individu, termasuk yang bekerja sambilan, boleh dikenakan cukai jika layak.

“Seorang individu boleh menerima pendapatan daripada pelbagai sumber sama ada daripada pendapatan gaji; pendapatan perniagaan seperti komisen, kerja sambilan sebagai guru tuisyen atau pemandu; ataupun pendapatan daripada sewa pun dikenakan cukai pendapatan,” katanya.
“Mereka kena isytihar pendapatan dalam satu borang sahaja iaitu borang pendapatan selain perniagaan,” katanya.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »