Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias menjatuhkan hukuman itu terhadap Tan Yeoh Foong, 53, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 selepas mengambil kira denda RM100 maksimum diperuntukkan menerusi akta berkenaan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Yeoh Foong yang beralamat di Permas Jaya, Masai dekat sini, didakwa menggunakan perkataan kurang sopan iaitu 'babi' yang ditulis pada kertas saman diserahkan kepadanya.
Tindakannya itu didakwa bertujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 malam kelmarin, tertuduh yang memandu Mercedes Benz ditahan oleh anggota polis trafik Johor Bahru Selatan di Jalan Tun Abdul Razak di sini, kerana menghalang lalu lintas.
Berikutan keengganan suspek bekerjasama, polis mengeluarkan saman atas kesalahan menghalang lalu lintas, mengabaikan isyarat lalu lintas dan meletakkan kenderaan di garisan berkembar kepada tertuduh untuk ditandatangani.
Bagaimanapun, Yeoh Foong menulis perkataan 'BABI' di ruang tanda tangan saman berkenaan, dipercayai cuba menconteng dengan niat memperlekeh dan menghina anggota polis terbabit.
Anggota polis itu menegur perbuatan tertuduh tetapi wanita itu terus menengking anggota berkenaan sambil mendakwa namanya adalah 'babi'.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Mohd Nasir, manakala tertuduh diwakili peguam Chuah Shyue Chien.
Terdahulu, Shyue Chien dalam rayuannya meminta mahkamah mengenakan hukuman ringan ke atas anak guamnya memandangkan tertuduh menghidap anemia dan kejadian mungkin berlaku akibat ketidakstabilan emosi.