[BACA : Kelantan’s Sultan Muhammad V is Malaysia’s 15th Agong]
Ketika ini, jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-14 disandang oleh Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berkuat kuasa 13 Disember 2011 dan tempoh perkhidmatan Tuanku Abdul Halim akan berakhir 12 Disember ini.
Jika berdasarkan sistem penggiliran yang ditetapkan Majlis Raja-Raja, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berada pada giliran sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.
Selain itu, baginda yang dilantik adalah merupakan raja yang berada di kedudukan teratas, mendapat sokongan sekurang-kurangnya lima raja lain serta bukan seseorang yang telah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong selama dua penggal berturut-turut.
Mengikut kebiasaan sebelum proses pemilihan berlangsung, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja terlebih dahulu akan menanyakan raja yang seterusnya dalam senarai giliran mengenai kesediaannya untuk dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Sembilan raja berkenaan kemudian akan membuat undi rahsia dan sekiranya raja dalam senarai itu mendapat lima undian, baginda dengan rasminya dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong seterusnya.
Proses yang sama diulangi untuk memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong, yang akan memangku jawatan Yang di-Pertuan Agong semasa ketiadaan baginda di dalam negara atau kerana keuzuran.