Ibubapa Dapat Cuti Jika Anak sakit


Mesyuarat Exco Kerajaan Pulau Pinang meluluskan cadangan agar ibu bapa diberi cuti tiga hari untuk membawa anak berusia bawah 12 tahun mendapatkan rawatan doktor.

GEORGETOWN- Mesyuarat Exco Kerajaan Pulau Pinang meluluskan cadangan agar ibu bapa diberi cuti tiga hari untuk membawa anak berusia bawah 12 tahun mendapatkan rawatan doktor.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, kerajaan negeri menerima pakai cadangan itu namun ia tidak boleh dilaksanakan serta merta kerana perlu mendapat kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terlebih dahulu.

“Tiga hari cuti tahun akan diberikan kepada ibu bapa yang membawa anak berusia 12 tahun yang sakit untuk berjumpa doktor. Namun, kerajaan negeri berada di bawah JPA dan atas sebab itu, kita perlu membuat permohonan dahulu.

“Saya sudah mengarahkan Setiausaha Negeri (SUK) membuat permohonan kepada JPA, dan selepas mendapat kelulusan, baru boleh laksanakan ke atas semua penjawat awam dalam agensi Kerajaan Pulau Pinang,” katanya kepada media semalam.

Guan Eng berkata, cadangan itu diluluskan bagi menggalakkan kaum wanita terlibat dalam tenaga kerja.

“Kita memerlukan kadar penyertaan tenaga kerja wanita yang lebih tinggi dan di Pulau Pinang, kita hanya mempunyai 59 peratus. Walaupun purata di peringkat nasional 54 peratus, tetapi untuk mencapai ekonomi berpendapatan tinggi, kita memerlukan lebih daripada 60 peratus.

“Sehubungan itu, sebaik sahaja JPA meluluskannya, butiran akhir permohonan untuk kebenaran akan dapat diselesaikan,” katanya.

Sementara itu, Exco Pembangunan Keluarga dan Wanita, Chong Eng berkata, cadangan itu dibuat bagi menunjukkan kerajaan negeri peka dengan keadaan ibu bapa yang tidak mempunyai sistem sokongan.

Menurutnya, ibu bapa yang bekerja mempunyai kekangan masa dalam menguruskan anak kecil sekiranya mereka sakit.

“Terima kasih kepada Mesyuarat Exco kerana menerima cadangan ini. Cadangan ini sebagai langkah agar ibu bapa yang bekerja dapat memberikan perhatian lebih kepada anak kecil yang sakit.

“Ini kerana, ramai ibu bapa terpaksa bersusah payah untuk membahagikan masa antara kerja dan menjaga anak serta keluarga,” katanya.

Kelmarin, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dalam mesyuaratnya malam kelmarin membuat keputusan untuk menerima pakai cuti untuk ibu bapa seperti yang dicadangkan oleh Wanita DAP.

Cadangan itu dibuat Chong Eng atas dasar ramai ibu bapa muda yang bekerja terutama mereka yang tidak mempunyai sokongan keluarga yang tinggal di bandar sedang bergelut antara pekerjaan dan menjaga anak-anak serta keluarga.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »