Laporan disiplin Muhyiddin, Mukhriz siap, Ku Nan sah kedua-dua bakal dipecat



Laporan disiplin dua pemimpin Umno, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang lantang mengkritik Presiden Datuk Seri Najib Razak sudah siap dan mereka akan dipecat, kata Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tengku Adnan mengesahkan akan mencadangkan tindakan memecat kedua-dua mereka dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno bulan ini.

“Pada saya, saya mahu pecat mereka.


“Jawatankuasa disiplin sudah pulangkang kembali kepada Majlis Tertinggi untuk diputuskan,” katanya yang dipetik berkata kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, The Malaysian Mirror mendedahkan usaha sedang berjalan untuk memecat kedua-dua pemimpin tersebut kerana menjelajah ke seluruh negara dan duduk sepentas dengan pembangkang bagi mendesak peletakan jawatan Najib.

Kedua-dua juga terlibat dalam Deklarasi Rakyat yang mengumpulkan sejuta lebih tandatangan orang ramai bagi mendesak pengunduran Najib yang terpalit dengan skandal kewangan.

Muhyiddin disingkir daripada jawatan timbalan perdana menteri Julai lalu dan Mukhriz ditukar sebagai menteri besar pada awal tahun ini, dipercayai kerana kritikan mereka berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan wang derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib. – 16 Mei, 2016.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »