PETALING JAYA: Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad bertemu dan berjabat tangan dengan bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan beliau seorang binatang politik (political animal), kata Tan Sri Zainuddin Maidin.
Bekas menteri penerangan itu berkata tindakan itu juga membuktikan Dr Mahathir sanggup melakukan apa saja demi mencapai tujuan politiknya.
“Inilah apa yang dikatakan tidak ada kawan yang kekal dan tidak ada musuh kekal dalam politik. Ini senario politik baharu yang menunjukkan Dr Mahathir adalah binatang politik (political animal),” katanya ketika dihubungi FMT, hari ini.
Dr Mahathir hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi menunjukkan sokongan kepada Anwar yang memfailkan saman menghalang penguatkuasaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.
Pertemuan mereka merupakan yang pertama sejak Dr Mahathir memecat Anwar daripada jawatan timbalan perdana menteri, pada 18 tahun dan 3 hari lalu.
Zainuddin berkata tindakan Dr Mahathir membuktikan masalah dana politik RM2.6 bilion dan masalah demokrasi lebih besar berbanding soal peribadi antara 2 figura besar ini.
“Saya ingat Dr Mahathir sudah memikirkan masalah RM2.6 bilion dan masalah menyekat demokrasi adalah lebih besar daripada masalah moral Anwar.
“Kini Umno tidak menghormati rakyat dengan mengambil kuasa raja. Umno sendiri sudah sampai ke peringkat yang kuasa raja diambil untuk mempertahankan individu,” katanya.
Malah katanya, tindakan Dr Mahathir ini menghidupkan harapan baru buat rakyat walaupun masih terlalu awal untuk membuat ramalan.
“Tindakan Dr Mahathir menghidupkan harapan rakyat yang baru muncul. Soal Anwar untuk kembali menjadi perdana menteri sudah tidak nampak sebagai mustahil lagi,” katanya.
Sementara itu, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali pula melihat tindakan bekas perdana menteri yang berkhidmat selama 22 tahun itu dituntut dalam Islam.
“Memupuk dan menjalinkan silaturahim ialah ajaran Islam, selebihnya Allah saja yang tahu dalam hati masing-masing.
“Isu undang-undang MKN amat serius pada Dr Mahathir. Mungkin ini mendorongnya datang memberi sokongan kepada Anwar di mahkamah,” katanya.
Dr Mahathir memecat Anwar pada 2 September 1998 selepas dituduh menyalahgunakan kuasa dan salah laku seks. Pemecatan beliau mencetuskan demonstrasi besar-besaran di Kuala Lumpur.
Anwar, 68, yang kini menjalani hukuman penjara 5 tahun atas kesalahan meliwat, mendakwa Akta MKN 2016 tidak berperlembagaan dan tidak sah kerana ia dikuatkuasakan menurut Fasal 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menuntut deklarasi Akta MKN tidak berperlembagaan dan terbatal serta memohon perintah injunksi menghalang penguatkuasaan MKN.
Akta MKN yang berkuat kuasa pada 1 Ogos lalu antara lain memberikan kuasa kepada perdana menteri menetapkan sesuatu kawasan sebagai “kawasan keselamatan” di mana beliau boleh membenarkan pasukan keselamatan memeriksa mana-mana individu, kenderaan atau bangunan tanpa memerlukan waran.
Ia juga membenarkan penyiasat mengabaikan sebarang penyiasatan formal berhubung pembunuhan dilakukan polis atau tentera dalam sesuatu “kawasan keselamatan”.
Akta itu diluluskan tanpa mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, walaupun istana pernah mencadangkan beberapa perubahan.