PUTRAJAYA - Datuk Nurulhidayah mengakui yang dirinya tidak pernah risau, malah tidak pernah bercerita atau menangis kerana dikritik teruk oleh hatersnya.
Menurut anak Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu, apa yang dilaluinya sejak zaman sekolah, universiti hingga ke alam pekerjaan tidak pernah diceritakan kepada ayahnya.
"Saya ambil pendekatan, biarlah orang benci. Kerana dengan benci, akan datangnya kasih sayang. Saya tak boleh halang orang sama ada mahu membenci atau suka kepada saya. Mungkin mereka tidak kenal saya," katanya memetik dari Harian Metro.
Nurulhidayah sebelum ini menjadi bualan netizen kerana keberaniannya menyatakan pandangan mengenai sesuatu isu seperti pengambilan 1.5 juta pekerja Bangladesh.
"Saya tidak bercita-cita untuk menjadi menteri. Saya seperti orang lain yang ada pendapatan sendiri. Cuma kebetulan saya anak kepada timbalan perdana menteri.
"Saya juga tidak menyokong kemasukan 1.5 juta pekerja asing kerana kerajaan perlu buat banyak pemantauan, banyak kajian sebelum membuat keputusan itu," jelasnya.
Mengenai gelaran Datuk yang diterimanya, Nurulhidayah menjelaskan bahawa gelaran itu dikurniakan oleh Sultan Pahang empat tahun yang lalu.
"Saya dianugerahi gelaran datuk sebelum bapa saya dilantik sebagai timbalan perdana menteri. Pada saya, gelaran 'Datuk' yang saya dapat ini tidak perlu dipersendakan kerana ia satu kurniaan.
"Gelaran datuk berhak diberikan kepada sesiapa saja yang diperkenankan. Jadi mengapa mahu mempersendakannya?" katanya.