Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa pemimpin dan anggota parti supaya menutup isu dana politik, sebaliknya memberi fokus bagi menghadapi cabaran yang lebih besar dalam membangunkan negara dan menjaga kepentingan rakyat.
Perdana Menteri berkata jika parti hanya tertumpu pada isu dana politik, soal kepentingan rakyat akan terabai.
Beliau berkata soal kepentingan rakyat dan apa yang diinginkan oleh mereka sepatutnya menjadi agenda utama parti yang perlu diambil perhatian sewajarnya.
"Selagi kita ambil berat soal rakyat, rakyat cukup tak pendapatannya, rakyat ada tak rumah mampu milik, rakyat dapat ke tidak sekolah, suasana hidup rakyat macam mana, ini semua mesti dalam lingkungan apa yang diperjuangkan oleh parti kita.
"Kalau kita dapat memberi perhatian pada perkara ini, saya percaya kita dapat pulihkan keadaan ini," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kepala Batas, di Institut Latihan Perindustrian di Kepala Batas, hari ini.
Yang turut hadir bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Seri Zainal Abidin Osman dan barisan kepimpinan Umno Bahagian Kepala Batas.
Najib berkata media massa terutamanya media sosial menjadi punca kekalutan pemikiran rakyat sehinggakan perkara yang tidak benar boleh dianggap sebagai benar.
Justeru, katanya semua anggota parti perlu memainkan peranan membetulkan persepsi rakyat dengan memberi penjelasan terhadap isu-isu berbangkit.
"Nasib saya jadi perdana menteri (semasa) media sosial menjadi media utama bukan lagi media cetak. Inilah seperti mana berlaku dalam PRU13 (Pilihan Raya Umum ke-13), mereka boleh pusingkan cerita kononnya ada 40,000 pengundi Bangladesh yang kita bawa masuk jadi pengundi dalam PRU13.
"Cuba bayangkan benda macam itu, cerita tak benar pun, tak disiasat, tak dipastikan kebenaran (dan) diterima, ditelan bulat-bulat. Sampai hari pengundian tu ada orang yang rupa macam Bangladesh kena kejar," katanya.
Dalam pada itu, Najib yakin Umno dapat tangani cabaran jika semua anggota mempunyai rasa kasih dan cinta terhadap parti.
Menjadikan Abdullah sebagai contoh, beliau berkata bekas perdana menteri itu tidak pernah merajuk, meradang mahupun menyumpah UMNO walaupun digugurkan daripada Kabinet malah tetap terus membantu parti berkempen pada pilihan raya.
"Jiwanya begitu ikhlas, bersih terhadap Umno tetapi kepimpinannya, perwatakannya boleh jadi ikutan kepada kita bahawa dalam apa jua keadaan, cuba bayangkan digugurkan daripada Kabinet, (tetap) terus berjuang mempertahankan Umno," katanya.
2 comments
commentsMedia cetak pro kerajaan semuanya menjadi penjilat tegar mu wahai najib..kami rakyat bukan nya bodoh tongong macam macai mu..sedarlah dari lamunan mu selama ini..akhirilah mimpi mu dengan berpijak di bumi yang nyata yang rakyat tidak lagi bersama kamu yang menjadi liabliti pada negara..kamu lah sebenarnya punca dan ibu segala kemelut yang melanda negara ketika ini. Sikap kamulah yang menjadi barah dan duri dalam daging yang telah membusuk dan menajisi negara ketika ini. Pulanglah segala yang bukannya milik kamu pada rakyat dan negara. Hentikan segala alasan dan segala pembohongan kepada dunia yang wang berjumlah RM 2.6 bilion itu kononnya kamu kata derma dari pak arab. Dan sekarang ALLAH akan pecahkan tembelang mu bahwa wang itu bukannya daripada pak arab namun wang itu talah kamu songlap dari AKAUN 1MdB. Malaikat Jibril telah datang menemui Tuhan dan Dia memberi khabar itu pada Tuhan dan Allah membenarkan NYA. Dan sekarang kamu hendak lari ke mana? Jangan kamu lari ke luar negara sebelum kamu memulangkan semula wang hakmilik negara dan rakyat Malaysia kepada yang empunyanya. Ingat lah..!!! Malaikat Izrael akan mengambil nyawa mu bila-bila masa sahaja..BERTAUBATLAH dan kembalilah pada TUHAN YANG MAHA ESA LAGI MAHA PERKASA>>
ReplyTaubatlah sebelum ajal datang..
Reply